#BOLASEPAK ~ Jaringan Mandzukic bawa Croatia ke final Piala Dunia 2018

Mario Mandzukic - Foto EPA-EFE

MOSCOW: Jaringan Mario Mandzukic pada masa tambahan membolehkan Croatia menewaskan England 2-1 dalam aksi sengit separuh akhir di Moscow bagi menempah pertemuan final dengan Perancis.

Penyerang Juventus itu menyumbat gol pada minit ke-109 untuk melengkapkan kebangkitan menakjubkan Croatia, negara yang hanya memiliki lebih 4 juta penduduk bagi melangkah ke final Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

PENYERANG Croatia, Mario Mandzukic (no17) meledak gol kedua ketika menentang England pada aksi separuh akhir di Stadium Luzhniki, sebentar tadi. - Foto Reuters

Sepakan percuma menarik Kieran Trippier pada awal permainan meletakkan England dalam kedudukan terbaik untuk beraksi di final buat kali pertama sejak mereka menjulang trofi di laman sendiri pada 1966.

Namun harapan itu tidak kesampaian apabila Croatia bangkit melawan pada babak kedua dan menyamakan kedudukan menerusi Ivan Perisic sebelum mendapat tenaga luar biasa bagi meraih kemenangan meskipun terpaksa beraksi dalam masa tambahan buat kali ketiga dalam tempoh 10 hari.

Kelebihan besar pasti milik Perancis yang mempunyai rehat lebih sehari sebelum pertembungan final Ahad ini selepas menyingkirkan Belgium 1-0, awal pagi semalam.

Namun ia bukan masalah buat Croatia yang muncul negara paling kecil berjaya ke final sejak Uruguay pada 1950.

England mengharapkan untuk melakar sejarah baru dalam penampilan pertama di separuh akhir dalam tempoh 28 tahun.

REAKSI pemain England selepas tewas kepada Croatia pada saingan separuh akhir Piala Dunia di Stadium Luzhniki, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Jurulatih skuad Three Lions, Gareth Southgate menaruh kepercayaan kepada kesebelasan utama yang sama ketika menewaskan Sweden pada suku akhir manakala pemain Inter Milan, Marcelo Brozovic menggantikan Andrej Kramaric dalam skuad Croatia.

Croatia mengharapkan inspirasi Luka Modric untuk mengawal perlawanan bagaimanapun dia menjadi punca jaringan Trippier apabila menghadiahkan sepakan percuma.

Ia sepakan lencong menarik dari jarak 25 ela daripada pertahanan kanan Tottenham Hotspur itu dan menjadi gol pertama dihasilkan menerusi sepakan percuma di Piala Dunia sejak David Beckham menentang Ecuador pada 2006.

Penyokong Croatia kemudian menggamatkan suasana di Stadium Luzhniki selepas menyaksikan Perisic menolak bola menggunakan kaki kiri selepas Sime Vrsaljko melakukan hantaran ke dalam kotak penalti.

Croatia boleh menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit namun rembatan leret Perisic terkena tiang ketika Jordan Pickford sudah tertewas di gawang.

Mandzukic yang kelihatan mengalami kecederaan selepas bertembung dengan Pickford memastikan detik gemilang Croatia apabila bijak menyambut bola tandukan ke belakang Perisic sebelum melepaskan rembatan ke gawang England. - AFP



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment