#SUMBANG MAHRAM ~ Balasan buat abang durjana dipenjara 55 tahun

Suspek (kanan) dijatuhkan hukuman dipenjara 55 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KLANG - Perbuatan terkutuk seorang mekanik sambilan melakukan sumbang mahram dan memasukkan jari ke dalam kemaluan adik kandung perempuannya, dua tahun lalu mendapat balasan setimpal apabila dipenjara 55 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh berusia 25 tahun itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk satu pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan daripada tarikh dia ditangkap 8 Mac lalu.

Kunasundary dalam penghakimannya menegaskan kesalahan tertuduh itu amat menjijikan dan diumpamakan sebagai harapkan pegar, pegar makan padi.

"Sepatutnya tertuduh membimbing dan melindungi darah dagingnya namun apa yang dilakukan hanya memuaskan nafsu dan perbuatan sebegini perlu dibendung," jelasnya.

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu berdepan tiga pertuduhan dengan sengaja melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya berusia 14 tahun.

Justeru, tertuduh dihukum penjara 15 tahun bagi setiap satu pertuduhan dan 13 sebatan keseluruhannya mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna biru turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan atas pertuduhan pindaan memasukkan jari ke dalam kemaluan adik perempuannya itu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Perbuatan bagi kesemua pertuduhan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Sabak Bernam bermula Mac 2017 hingga Julai 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memohon hukuman berat yang dijalankan secara berasingan atas alasan tidak dapat mengembalikan kesucian mangsa yang telah hilang.

Katanya, tertuduh pada suatu hari akan keluar dari penjara sekiranya dipanjangkan umur namun kesan dan trauma mangsa kekal hingga akhir hayat.

"Mangsa telah mengalami trauma dan penderitaan sejak enam tahun lagi atas perbuatan tertuduh.

"Masa depan mangsa telah musnah akibat perbuatan tertuduh yang sepatutnya sebagai abang kandung melindungi mangsa dan bukan memusnahkan adik kandung sendiri," tegasnya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mengadu pada pengetua di sekolahnya pada 8 Mac lalu dan memberi pengakuan bahawa dirinya diperkosa oleh tertuduh sejak berusia enam tahun.

Pengetua sekolah itu kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seterusnya mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk membuat laporan polis. - K! ONLINE

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 ulasan

Pkilm berkata...

Are you looking for jobs??? So Visit our website here you find Thousands of Jobs according to your qualification and experiance We Provide you Latest Jobs, News, Past Papers, Vidoes, Online Earning Tricks and much more